Saturday, June 27, 2009

Daurah ‘Ilmiyyah di Baitul Qurro’



Assalamualaikum wbt.

Alhamdulillah, selawat dan salam ke atas Nabi Muhammad saw dan keluarganya, para sahabat seluruhnya. Sesungguhnya hasil titik peluh perjuangan mereka, kita dikurniakan dua nikmat terbesar daripada Allah iaitu nikmat Iman dan Islam, yang mana dengan nikmat inilah mencetus taat dan dijadikan sebab oleh Allah Taala untuk dimasukkan kita kedalam syurga dan kekal didalamnya serta terlepas dari api neraka.

Sudah hampir dua minggu lebih saya tidak mengemaskini blog ini kerana pada detik itu saya bersama beberapa orang sahabat , pergi menuntut ilmu di sebuah pondok yang sangat berkat di Melaka iaitu Baitul Qurro’ (gambar-gambar akan menyusul). Program yang dinamakan Daurah ‘Ilmiyyah di Pondok Baitul Qurro’ sangat memberikan kesan yang baik buat diri, ditarbiyyah oleh ulama’ yang haraki iaitu Al-Fadhil Ustaz Zulkifli Bin Ismail,

Alhamdulillah, dipermudahkan perjalanan, dilapangkan hati, diberi ketenangan, ditambahi kefahaman di bumi berkat yang digelar ‘lautan ilmu’ oleh salah seorang bekas Imam Kuwait. Oleh itu, maka tidak hairanlah bumi berkat ini pernah tertera nama Allah pada awan sebanyak empat kali. MasyaAllah, Allah Hayyun!.

Sepanjang dua minggu menuntut di sana, saya sempat khatam tiga kitab iaitu kitab solat bertajuk Pati Muniatul Musollin ( Intisari Cita-cita Orang Besembahyang), kitab jihad bertajuk Ar-Risalah At-Tahridh ‘Alal Jihad Fi Islahil Bilad Wal ‘Ibad ( Gesaan Berjihad Pada Memperbaiki Negeri dan Rakyat) dan kitab tauhid iaitu kitab sifat dua puluh. Alhamdulillah, saya diberi ijazah oleh Ustaz Zulkifli untuk mengajar ketiga-tiga kitab ini supaya memberi manfaat kepada semua.

Turut diijazahkan juga ialah dua wirid merupakan amalan ahlul bait(keturunan Rasulullah saw) di Hadralmaut, Yaman iaitu Al-Wirdul Latif yang diilhamkan oleh Al-Imam Abdullah ‘Alawi Al-Haddad dibaca selesai solat Subuh dan Ratib Al-Haddad yang diilhamkan oleh Al-Imam ‘Alawi Al-Haddad dibaca selepas Solat Maghrib. Terasa ketenangan di hati, tatkala membaca wirid-wirid ini yang merupakan himpunan ayat-ayat Al-Quran dan doa-doa ma’thur yang dibaca oleh Nabi. InsyaAllah, saya akan kembang bacaan wirid ini di rehlah-rehlah dan juga di surau-surau.

Dua minggu yang saya katakan tadi terasa bagai baru sehari dua, keasyikkan menuntut ilmu dalam masa yang sama beramal dengan bimbingan ‘ulama benar-benar meresap dalam hati, menguasai hati serta melembutkan hati. Agak sukar hendak digambarkan dengan kata-kata tetapi hakikatnya itulah yang saya rasai.

Dalam setiap kali pengajaran, diselit dengan ilmu tasawwuf, sirah,politik dan juga pengalaman -pengalaman yang dilalui oleh Ustaz. Ustaz juga memberikan beberapa buah kitab karangannya antaranya Ancaman Bahaya Sekularisme, Risalah Tanbih ‘Anid Dholal Liman Aroda Zal-Jalal (Peringatan Tentang kesesatan bagi Orang Yang Cintakan Tuhan, Hukum Berlunak Dalam Mengenal Jalan Dakwah yang Mendapat Keredhaan Allah dan Pedoman Berfaedah bagi Penyeru-penyeru ke Jalan Allah.

Kelas pengajian kebanyakkannya pada sebelah pagi dan petang, pada sebelah malamnya, ustaz akan mengajar di beberapa tempat di sekitar Melaka. Saya juga berkesempatan naik kereta bersama ustaz mengikutinya mengajar sepanjang tempoh dua minggu tersebut. Disepanjang perjalanan ustaz menceritakan keadaan masyarakat di Melaka yang perlukan kepada perubahan, maka ustaz berazam untuk melahirkan ulama’-ulama’ di Baitul Qurro’ ini yang akan mengislahkan bumi Melaka ini dengan ajaran Islam yang sebenarnya. Semoga usaha ustaz dipermudahkan Allah Taala..Aamin

Semasa dalam perjalanan itu juga, Ustaz banyak memberikan pesanan kepada saya, antara yang terkesan ialah, “jadilah orang yang berilmu kerana seorang alim itu lebih ditakuti oleh syaitan daripada seribu orang yang beribadat tetapi jahil”. “Sekularisme adalah syirik terbesar tetapi tersembunyi kerana membenarkan manusia menentukan hukum yang telah ditetapkan oleh Allah, maka berjuang menentangnya adalah jihad”.

Sekadar ini sahaja perkongsian kali ini. Saya amat mengharapkan agar kader-kader Islam pada masa akan datang dapat sedaya mungkin merasai tarbiyyah daripada ‘ulama yang haraki ini, kerana melalui haraki, kita akan tahu bahawa Islam bukanlah hanya pada aspek ritual sahaja, sebaliknya Islam adalah meliputi segenap aspek, termasuklah jihad, yang cuba dihapuskan oleh puak-puak sekular . InsyaAllah saya akan berkongsi ilmu-ilmu yang diperoleh disana pada entri yang akan datang. Semoga kita akan mendapat berkat dan manfaat bersama.


Syakur Ibrahim



3 comments:

nurshuhada adnan said...
This post has been removed by the author.
nurshuhada adnan said...

semoga drimu sentiasa deberkati..

salam...
sy bersyukur krn
dirimu dah pulang
dgn slamat..
dan dpt mmantapkan lg pengthuan..
alhamdulillah..

xsbar nak bc entry akan dtg..
sntiasa dlm hrpn..
tafaddol...

are-teen =) said...

salam
BQ (baitul Qura mmg bez pon)
ana dh p hr 2 blajar kitab tauhid
t'ingin nk p lg skali
tp msa xm'izinkan
kalo x mggu lpas pon ana djmput join plajar indonesia
tp ana join program tampak kt perak
hrp2 nnt bleh p lg kt kg tcntik di Malaysia 2
Baitul Qura mmg tempat yg dberkati Allah..

Design by infinityskins.blogspot.com 2007-2008