Berorganisasi Biarlah Beradab
Saya sangat sukakan kepada sesuatu kerja yang memerlukan organisasi. Dengan berorganisasi, hidup menjadi tersusun, kerja menjadi mudah, kata pepatah "yang berat sama dipikul dan yang ringan sama dijinjing"
Begitu juga dengan berorganisasi, kerja yang dibuat akan lebih menjadi teliti, lebih cemerlang dan menjadi lebih bersungguh-sungguh. Seperti pesan kekasih kita, Muhammad SAW supaya umatnya bersungguh-sungguh dalam bekerja,
"Bahawasanya Allah mewajibkan kesempurnaan (kecemerlangan) pada pekerjaan dan apabila kamu membunuh perbaikilah pembunuhan kamu, dan apabila kamu sembelih hendaklah sempurnakan sembelihan kamu, dan hendaklah kamu tajamkan pisaunya dan merehatkan sembelihannya, memperbaikkan kedudukannya" - (Riwayat Muslim)
Dan lagi sabda Nabi SAW,
"Bahawasanya Allah mengasihi seseorang daripada kamu apabila melaksanakan apa-apa kerja dilaksanakan dengan sempurna" - ( Riwayat Abu Ya'la dan Al-'Askari, daripada 'Aisyah RA)
Malanglah bilamana ada yang menolak kerja berorganisasi dalam hidup mereka. Kadang kala sudah pun berorganisasi, tetapi memilih untuk mencipta organisasi baru yang sama matlamat..alangkah ruginya..
Sudah terang lagi bersuluh, bila mana kita membaca Surah As-Soff ayat 4,
"Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berperang untuk mempertahankan agamaNya, dalam satu saff yang teratur rapi, seolah-olah mereka sebuah bangunan yang kukuh."
Begitu juga sabda Nabi SAW,
"Wajiblah kamu bersama-sama organisasi Muslimin dan pemimpin mereka" - (Muttafaq 'Alaih)
Bertuahnya bagi mereka yang berorganisasi kerana sudah menepati saranan Allah dan RasulNya, lagi penting bilamana umat Islam kehilangan kekuatan apabila keruntuhan Khilafah Islamiyyah Turki Uthmaniyyah pada tahun 1924, kesatuan umat Islam amat diharapkan.
Namun apabila sudah berorganisasi, ada lagi satu lagi kewajipan yang perlu diikuti, dengan adanya ia maka lancar dan licinnya sesuatu gerak kerja. Kewajipan tersebut ialah setiap ahli-ahli yang berorganisasi perlu memiliki adab dan akhlak yang baik di dalam berorganisasi.
Ayuh, sama-sama kita renung dan muhasabah diri, adakah kita memiliki adab dan akhlak ini. Perkara ini sangat penting bagi meletakkan organisasi sentiasa mendapat restu Allah SWT dan pertolonganNya.
1. Ikhlas
Ikhlas menuntut kita mempunyai niat yang benar kerana Allah, menuntut keredaanNya. Apabila ikhlaskan niat kerana Allah semata, maka hati akan bersih dari sifat-sifat yang merosakkan niat seperti riya', 'ujub' dan sum'ah dan juga materialistik.
Kepada generasi awal Islam, Allah telah mengajar umat Islam pada peperangan Hunain,
"Sesungguhnya Allah telah menolong kamu mencapai kemenangan dalam banyak medan-medan perang dan di medan perang Hunain, iaitu semasa kamu merasa megah dengan sebab bilangan kamu yang ramai; maka bilangan yang ramai itu tidak mendatangkan faedah kepada kamu sedikitpun; dan (semasa kamu merasa) bumi yang luas itu menjadi sempit kepada kamu; kemudian kamu berpaling undur melarikan diri.Kemudian Allah menurunkan semangat tenang tenteram kepada RasulNya dan kepada orang-orang yang beriman, dan Allah menurunkan tentera yang kamu tidak melihatnya, serta Ia menyeksa orang-orang kafir itu (dengan kekalahan yang membawa kehancuran); dan yang demikian itu ialah balasan bagi orang-orang yang kafir.Kemudian Allah menerima taubat orang-orang yang dikehendaki (dengan memberi taufiq untuk memeluk Islam), sesudah (orang-orang kafir itu ditimpakan dengan azab); dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani." - (Surah At-Taubah ayat 25-27)
2. Percaya dengan baik kepada Allah
Seseorang yang menceburkan diri dengan organisasi, mestilah percaya kepada jaminan Allah dan janjinya di dunia dan akhirat. Pentingnya perkara ini dinyatakan dengan kita mengadakan hubungan baik dengan Allah melalui sifat taqwa (qiyamullai, puasa sunat, sedekah), mengerjakan perintah dan meninggalkan larangan dan tidak ada dalam diri sifat berputus asa dan perasaan tidak yakin dengan akhirat.
Dalam satu kisah, Rasulullah SAW tidak menerima Bani 'Amir kerana mereka meminta jawatan sebelum mencapai kemenangan dan tidak menerima Bani Syaiban kerana takut menghadapi Parsi yang menjadi kuasa besar dunia serta tidak yakin bahawa Islam akan dapat menumbangkan Parsi dan Rom.
Tetapi sebaliknya Rasulullah berbai'ah dengan Aus dan Khazraj yang percaya kepada Allah dan janjiNya bahawa Islam akan menang dan janji kebahagiaan diakhirat, lalu mereka patuh perintah Allah dan senantiasa rindu menunggu wahyu dan sabda untuk dilaksanakan dan diperjuangkan.
3. Istiqamah
Mesti berterusan di atas prinsip perjuangan dan beramal dengan segala tuntutan dan tidak menyeleweng dari prinsip. Perkara ini dapat memastikan kita tidak hanyut dan lalai dengan tugas yang sedia ada.
Para Nabi dan rasul adalah orang-orang yang paling beristiqamah. Orang yang tidak beristiqamah amalannya adalah sia-sia sahaja.
Firman Allah,
"Oleh itu, hendaklah engkau (wahai Muhammad) sentiasa tetap teguh di atas jalan yang betul sebagaimana yang diperintahkan kepadamu, dan hendaklah orang-orang yang rujuk kembali kepada kebenaran mengikutmu berbuat demikian; dan janganlah kamu melampaui batas hukum-hukum Allah; sesungguhnya Allah Maha Melihat akan apa yang kamu kerjakan." - (Surah Hud ayat 112)
" Tiga perkara yang tidak memberi manfaat bersamanua oleh sebarang amalan, iaitu, menyekutukan Allah, menderhakai kedua ibu-bapa dan lari dari medan perjuangan" - (Hadith riwayat Al-Bukhari)
4. Taat
Taat lahir daripada sikap percaya mempercayai diantara pemimpin dan ahli. Ketaatan mestilah dalam semua keadaan, samada senang dan susah, ketika lapang dan sempit selagi mana ianya tidak mendorong kearah maksiat.
Dalam khutbah Saidina Abu Bakar As-Siddiq RA ketika beliau dilantik sebagai khalifah,
"Taatlah kamu kepada aku selama mana aku taat kepada Allah pada memerintah kamu, sekiranya aku maksiat maka tidak wajib kamu taati aku"
Ketaatan membawa kepada menunaikan tugas mengikut arahan kepimpinan dan tidak bertindak sendiri tanpa pengetahuan kepimpinan sehingga organisasi menjadi kelam kabut. Dengan ketaatan budaya perpecahan dalam organisasi dapat dielakkan.
Penutup
Demikianlah beberapa akhlak dan adab yang semestinya dimiliki oleh setiap ahli organisasi. Menjadi kewajipan kepada setiap ahli menganggap dirinya seumpama pekerja bagi sebuah organisasi, yang tidak melakukan sesuatu perkara yang bercanggah dengan Islam, terpelihara dari akhlak mazmumah(terkeji) yang menjejaskan kewibawaan organisasi di mata umum.
Firman Allah SWT,
"....dan tolong menolonglah kamu dalam mengerjakan kebajikan dan taqwa...." (Surah Al-Maidah ayat 2)
Pada keseluruhannya, hendaklah kita senantiasa melengkapkan diri dengan semua sifat-sifat serta adab dalam berorganisasi yang digariskan oleh para 'Ulama , supaya kita beroleh keberkatan dan kesatuan dalam gerak kerja. Sekaligus memastikan dasar serta matlamat yang diperjuangkan akan sentiasa mendapat perhatian dan pertolongan daripada Allah.
Syakur Ibrahim




0 comments:
Post a Comment