Thursday, January 20, 2011

Masih Ada Sayang


Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani

Dah lama tak ber-blogging. Sibuk? Letih? Malas update blog? Tengah down? Semua tu ada mungkin. Mungkin ada tapi tak semua, atau mungkin ada, tapi kesemuanya ada.

Saya bukanlah orang rajin atau ringan tulang, saya bukanlah orang yang kuat bekerja, saya adalah orang yang biasa-biasa, saya memiliki iman yang naik dan turun, tetapi disebabkan sistem tarbiyah yang dilalui, mengajar erti faham kepada beragama dalam diri. Erti faham ini mencetus rajin, erti faham ini membuatkan saya kuat. Namun tidak bermakna dengan erti faham ini saya selama-lamanya rajin dan kuat bekerja kerana saya sebenarnya masih memerlukan teman-teman.

Ya, teman-teman sefikrah itulah yang banyak meniup semangat. Bila tengok mereka bekerja, kita akan terasa malu sebab kita tak buat kerja, maka dengan segera akan cuba menyamai rentak mereka. Merekalah ejen 'check and balance' kepada prestasi semasa diri. Itu bagi sayalah. Dan saya sangat menyetujui syair arab ini.

ياأخي مسلم في كل مكان وكل زمان انت مني وانا منك كالروح والجساد
"Wahai saudaraku se-Muslim, di setiap tempat dan masa, engkau adalah aku, dan aku adalah engkau, seumpama roh dan jasad"

Begitulah nilai teman-teman sefikrah buat diri saya. Saya amat sanjungi mereka, kagumi mereka dan cuba mengikut jejak langkah mereka. Matlamatnya, hanya satu, menyumbang untuk Islam sebagai usaha untuk mencari redha Allah.

Nak lari, tapi Allah panggil buat kerja

Seringkali akibat kesibukan diri dalam mengejar cita, banyak kali juga saya cuba untuk mengelak diri dari tugasan murni ini. Allahu Rabbi, hamba-Mu mohon ampun banyak-banyak.

Tetapi begitulah aturannya, bilamana kita berjanji dengan Allah, Allah sentiasa akan memberi peluang kepada kita untuk menunaikan janji-jani kita. Dan alhamdulillah, buat masa ini, ketika permulaan bagi kemalasan itu mula membunga, ketika itulah Allah bantu keluar dari sifat keji itu.

"Salam, akh, enta busy ka? Jom teman ana pi bagi kuliah kat sekian tempat." ajak Ustaz Hafez Sabri melalui pesanan ringkas.

"Baik akh, ana pun tak ada apa kerja sekarang ni." Begitulah jawapan yang diberikan setiap kali ditanya. Dan setiap kali itulah hati berbisik melafaz syukur, "Ya Allah, engkau memang sayangkan aku."

Itu dengan Ustaz Hafez, dengan Ustaz Idris pula lain sikit, dia selalu gunakan ayat sinis ni, "Nta sibuk dari Imam Hassan Al-Banna ke?". Terdiam. Apalagi, jiwa tersentak, terus pergi cari kerja. Syukur.

Ketika nak bercadang nak berehat di hujung minggu, sahabat-sahabat datang beri khabar, "Akh, enta kena jadi fasi di sekian tempat." Begitulah antara beberapa kisah 'pukul' sikap malas saya yang dah mula memutik di alam mahasiswa.

Kerisauan

"Dulu aku diatas, memang la rajin, sekarang aku kembali seperti biasa, rajin tu adalah jugak, tapi bila dah grad nanti macam mana?"

Itulah benda yang bermain difikiran. Kerisauan ini sentiasa melanda, jiwa haraki adalah satu jiwa yang sentiasa diuji, jiwa haraki kampus tidak sama dengan jiwa haraki di luar sana - alam kerja, alam keluarga, alam masyarakat.

"Aku ingin jadi Ustaz Riduan, konsisten semangat dakwahnya dari alam kampus hingga kini."

"Aku ingin jadi Dr Awisul Islah, Pakar Bius yang mengerakkan tarbiyah di dalam NGO perubatan pimpinannya, PAPISMA."

"Aku ingin menjadi Ustaz Hafez Sabri yang mana seluruh jiwanya diinfakkan kepada perjuangan."

Aku ingin jadi itu, ingin jadi ini. Tapi mampukah? Sekali lagi, saya mengharapkan agar kasih dan rahmat dari Allah sentiasa terus menerus menyapa diri ini dan seterusnya menyuburkan jiwa haraki ini di medan yang sebenar. Saya tidak mahu penat lelah di kampus berakhir begitu sahaja, saya mahukan ianya mekar subur sehingga ke akhir hayat demi menagih secebis redha Ilahi sebagai bekalan di Alam Abadi.

Ucapan semoga thabat dan istiqamah dalam perjuangan adalah amat saya alukan. Doakanlah.



Syakur Ibrahim


2 comments:

Farihah Ahmad said...

perlu bahagia dan ikhlas dlm ber-istiqamah ,ungkin?

huda laa said...

semoga thabat dan istiqamah dalam perjuangan;)